SALZBURG 6 GENK 2

Penyerang sensasi Salzburg, Erling Haaland, menyifatkan hatriknya dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) sebagai menakjubkan dan "perkara paling gila yang pernah dilakukannya dalam hidup".


Haaland -- anak bekas tonggak Manchester City dan pertahanan Leeds United, Alf Inge -- menikmati penampilan sulungnya dalam kancah itu dengan mengagumkan apabila meledak tiga gol dalam babak pertama untuk mencetuskan inspirasi kepada kemenangan 6-2 ke atas Genk, awal pagi tadi.

Pemain berumur 19 tahun itu menjadi pemain remaja pertama untuk menyumbat gol lebih daripada sekali dalam saingan Eropah itu sejak hatrik Wayne Rooney buat Manchester United ketika menentang Fenerbahce pada 2004.

Hatrik itu juga menyaksikan dia menjadi pemain kelapan untuk menjaringkan tiga gol dalam penampilan sulung di peringkat saingan elit Eropah.

"Ini adalah perkara paling gila yang pernah saya lakukan dalam hidup," kata Haaland, yang merakamkan 11 gol liga menuju ke perlawanan itu, selepas perlawanan Kumpulan E di Stadium Salzburg itu.

"Peminat pada hari ini, oh tuhan, saya melonjak-lonjak sebaik sahaja saya melangkah ke padang dan perasaan itu masih ada dan ia sesuatu yang saya tidak pernah rasakan sebelum ini."

Selepas memusnahkan pelawat dari Belgium itu, Haaland percaya adalah tidak mustahil untuk mereka mengulangi jejak langkah juara Belanda, Ajax, yang mencapai peringkat separuh akhir musim lalu.

"Semuanya boleh dilakukan. Kita semua pernah melihat (pencapaian) Ajax tahun lalu, ia akan menjadi manis kalau dapat menjadi Ajax yang baru," katanya kepada UEFA.com.

"Tetapi kami tahu ada banyak pasukan yang bagus, ia saingan yang sukar tetapi semuanya boleh dilakukan."

Pengurus Salzburg, Jesse Marsch, mengetuai pujian buat Haaland -- yang merekodkan sembilan gol untuk pasukan B-20 Norway ketika membelasah Honduras 12-0 pada Mei lalu.

Ditanya untuk menggambarkan Haaland dengan tiga perkataan, Marsch menjawab: "Positif, bertenaga dan mungkin lincah!"

"Haaland adalah seorang pemain yang hebat, lebih-lebih lagi dia pemain muda yang hebat. Dia membuktikannya setiap hari, dia bekerja keras dan tidak besar kepala. Setiap hari dia membuatkan rakan sepasukan tersenyum. Kami bertuah untuk memilikinya di sini dan kalau kami boleh mengekalkan kecergasannya, maka dia akan berkembang lagi."

Rakan sepasukan, Maximilian Wober dan Zlatko Junuzovic, turut menghamburkan pujian terhadap pemain muda itu.

Wober berkata: "Dia merupakan fenomena dengan ketinggiannya tetapi sangat lincah serta berkemampuan mengawal bola, adalah sangat sukar untuk menghadapinya dalam latihan, kami hanya dapat mengasarinya. Sekali lagi dia telah membuktikan mengapa dia pasti akan menjadi salah seorang penyerang terbaik di dunia."

Junuzovic pula menambah: "Rekod jaringannya sangat luar biasa. Saya gembira dia dapat menyumbat tiga gol hari ini. Orang ada mengatakan: 'baiklah dia ada menjaringkan gol liga, tetapi tunggulah sampai dia tampil di pentas besar'. Sebaliknya dia melakar hatrik!"