"Januari 2020, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula sarung jersi negara."

Itu jaminan yang diberikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohamad Amin, sekiranya urusan permohonan kedua-dua pemain itu lancar di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selepas menyediakan dokumen lengkap sebelum di hantar ke pihak KDN, Hamidin menegaskan jika tiada halangan, Liridon dan Guilherme boleh menyarung jersi Harimau Malaya bermula tahun depan.

Ia sekali gus akan menjadi kekuatan tambahan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang akan berdepan saingan kelayakan Piala Asia/Piala Dunia 2022/2023.

"Daripada naturalisasi, kami tiada pilihan lain selain itu. Jadi, sebab itu apabila saya menjadi presiden, saya umumkan bahawa naturalisasi merupakan projek yang ingin saya buat kerana FIFA membenarkannya," katanya.

"Kami harap dapat kelulusan daripada FIFA dan jika semua lancar, insya-Allah tahun depan mereka boleh beraksi buat skuad kebangsaan."

Perlawanan pertama bagi saingan kelayakan itu akan bermula pada 5 September depan dengan ketetapan dua aksi bagi setiap bulan sehingga November 2019.

"Kami sedang hadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Ia bermula September tahun ini selama setahun. Jika tidak layak ke situ, masih ada 12 slot untuk kelayakan Piala Asia di China pada 2023, mungkin pada Julai atau Ogos 2020 sehingga pertengahan 2021," jelas Hamidin.

Undian hanya akan berlangsung pada 17 Julai ini, dengan Malaysia menghuni balang keempat selepas berada dalam kelompok 32 terbaik Asia.