Pemain dari Peru, Paolo Guerrero, menerima sokongan daripada beberapa lawan pasukan kebangsaannya selepas kapten Perancis, Australia dan Denmark meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan penyerang itu beraksi dalam Piala Dunia 2018.

Guerrero bakal terlepas saingan di Russia setelah pihak Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) di Switzerland menangguhkan rayuannya terhadap Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) susulan keputusan menambah penggantungan enam bulan selepas diuji positif bahan berunsur kokain kepada 14 bulan.

Pemain berusia 34 tahun itu didapati positif ketika ujian dadah sewaktu aksi kelayakan Piala Dunia menentang Argentina pada Oktober 2017.

Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) menghubungi FIFA berhubung penggantungan itu dan kini, lawan Peru pada bulan depan telah tampil memberikan sokongan buat penyerang itu.

Kapten Perancis, Hugo Lloris, serta ketua pasukan Australia dan Denmark, Mile Jedinak dan Simon Kjaer, telah menandatangani satu surat yang dihantar kepada FIFA, meminta agar persatuan memberikan peluang buat penyerang Flamengo itu.

"Peru telah kembali ke pentas bola sepak tertinggi selepas 36 tahun dan kami percaya Guerrero patut diberikan peluang untuk mengetuai negaranya dan menikmati puncak karier," kata kandungan surat tersebut.

"Kami dengan penuh rasa hormat meminta majlis persidangan FIFA untuk menunjukkan belas kasihan buat Guerrero yang telah memberikan segala kudrat buat pasukan negaranya sejak 2004 serta meraih pencapaian tertinggi bagi semua pemain skuad kebangsaan, iaitu melangkah ke Piala Dunia.

"Pada pendapat kami, adalah sesuatu yang salah sekiranya menafikannya daripada beraksi dalam Piala Dunia dan menikmati pentas tertinggi berdasarkan pencapaian yang diusahakan selama ini. Ia juga menjurus kepada pengesahan bahawa dia tidak berhasrat menipu dan tidak berniat untuk meningkatkan prestasinya dengan bahan larangan.

"Jadi, kami meminta pihak FIFA untuk segera membenarkan hukuman terhadapnya dikecualikan menjelang aksi Piala Dunia 2018 di Russia berdasarkan penyertaan melibatkan Peru dalam saingan tersebut.

"Kami percaya bahawa atas dasar keadilan dan kesaksamaan akan membolehkan pertimbangan dilakukan bagi membolehkan Guerrero -- yang dipersetujui semua bahawa dia tidak menipu -- layak untuk beraksi bersama pasukannya serta pihak lawan secara profesional dalam Piala Dunia FIFA."