SWANSEA CITY 2 MANCHESTER CITY 3

Pep Guardiola memohon maaf selepas Manchester City menewaskan Swansea City 3-2 dalam suku akhir Piala FA di Stadium Liberty, awal pagi tadi, dengan memanfaatkan ketiadaan teknologi video bantuan pengadil (VAR).


City ketinggalan 0-2 pada 29 minit pertama perlawanan ketika Swansea memaparkan kecemerlangan mereka dalam babak pertama.

Bagaimanapun, Benardo Silva kembali merapatkan jurang pada 21 minit terakhir perlawanan sebelum Raheem Sterling memperoleh sepakan penalti buat City walaupun Cameron Carter Vickers dilihat melakukan terjahan ke arah bola -- Sergio Aguero mengambil sepakan yang menerjah ke gawang selepas terkena penjaga gol lawan, Kristoffer Nordfeldt.

Aguero kemudian melengkapkan kebangkitan itu menerusi gol tandukannya pada penghujung perlawanan walaupun dia kelihatan berada di kedudukan ofsaid.

Tanpa penggunaan sistem VAR, gol kedua dan ketiga City itu mengundang pertikaian dan mungkin tidak sepatutnya dikira.

Teknologi tersebut pernah digunakan di Stadium Liberty dalam saingan Piala FA musim lalu, namun Persatuan Bolasepak England (FA) dilaporkan telah menetapkan larangan terhadap penggunaan sistem itu di gelanggang tersebut sejak mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan dan Guardiola kecewa dengan keputusan itu.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Guardiola berkata: "VAR telah digunakan di seluruh Eropah, namun tidak di sini. Saya tidak mahu kami meraih kemenangan dengan cara seperti ini. Saya mohon maaf."

Kemenangan itu mengekalkan peluang City dalam memburu keempat-empat kejuaraan utama musim ini, namun Guardiola tidak mahu terbawa-bawa dengan keinginan untuk meraih kejayaan sebesar itu.

"Tanya saya sekali lagi bulan depan dan saya akan menjawab soalan itu nanti," katanya kepada BT Sport ketika ditanya mengenai peluang pasukannya meraih empat kejuaraan.

"Saya mahu mengucapkan tahniah buat setiap orang dalam pasukan ini.

"Kami berpuas hati untuk terus bersaing.

"Saya sedar saya akan gagal andai tidak menjuarai kesemua kejohanan.

"Saya mohon maaf," tambahnya.