Arjen Robben berkata Pep Guardiola telah melakukan kerja-kerja menakjubkan untuk menjadikan Manchester City sebagai pilihan menjuarai Liga Juara-Juara (UCL).

City kini berada di landasan tepat untuk menggondol empat trofi musim ini selepas menghasilkan tahap konsistensi sepanjang musim ini, apabila hanya mengalami dua kekalahan dalam semua pertandingan.

Kemenangan 4-0 ke atas Basel dalam pertemuan pertama pusingan 16 UCL baru-baru ini meletakkan mereka sebelah kaki ke suku akhir, sementara The Citizens mampu menjamin trofi pertamanya musim ini apabila mereka bakal berhitung dengan Arsenal dalam penentuan juara Piala Liga Inggeris, Ahad depan.

Jurang 16 mata di tampuk teratas Liga Perdana meletakkan mereka dalam kedudukan selesa untuk dinobatkan juara.

Sementara itu, kemenangan ke atas Wigan Athletic pada awal pagi Selasa kelak akan membawa mereka ke suku akhir Piala FA.

Robben, yang memenangi tiga gelaran Bundesliga dan dua DFB-Pokals di bawah asuhan Guardiola di Bayern Munich berkata, bekas bos Barcelona itu telah menjadikan City sebagai pasukan terbaik di Eropah.

Ditanya sama ada mereka adalah antara pilihan dalam UCL, Robben memberitahu Sportbuzzer: "Sudah tentu.

"Berbanding beberapa tahun lalu, mereka telah menjadi lebih kuat, kini ramai yang mengatakan bahawa Man City merupakan pasukan terbaik di Eropah. Namun, kejuaraan tidak dimenangi pada bulan Februari.

"Adalah sangat mengagumkan melihat apa yang telah dilakukan Pep Guardiola di City, kami juga cukup mengenalinya dan saya sangat senang bekerjasama dengannya, dia benar-benar jurulatih yang hebat, anda boleh melihatnya sekarang."

Prestasi hebat The Citizens hadir dengan harga tinggi apabila sebuah badan peninjau bola sepak, CIES, telah menyenaraikan kos perpindahan pemain City adalah bernilai €878 juta (RM4.2 bilion), lalu menjadikannya yang termahal dalam sejarah.

Begitupun, Robben menganggap ia pulangan yang berbaloi berdasarkan pencapaian mereka ketika ini.

"Tidak semestinya," katanya. "Jika anda melihat cara mereka bermain bola sepak, itu 'air tangan' jurulatih. Pep membina sesuatu, itulah tugasnya."