Pep Guardiola tidak akan membandingkan Phil Foden dengan Andres Iniesta, namun berasakan pemain remaja itu mempunyai apa yang diperlukan untuk menyarung jersi Manchester City selama 10 tahun akan datang.

Foden, yang merupakan peminat City sejak kecil dan dilahirkan melalui akademi kelab itu, menjaringkan gol sulungnya di peringkat senior dalam kemenangan 3-0 di Oxford United dalam pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu terlibat dalam jaringan pembukaan Gabriel Jesus dan kemudian memberi umpanan buat Riyad Mahrez untuk gol kedua City sebelum menyempurnakan aksi gemilangnya dengan jaringan pada masa kecederaan.

Pengurus Oxford, Karl Robinson, berkata Foden mengingatkannya tentang Iniesta tetapi Guardiola, yang melatih pemain tengah Sepanyol itu di Barcelona, ​​mencadangkan perbandingan tersebut terlalu awal.

"Impian saya adalah untuk melihat dia kekal dalam tempoh 10 tahun dan jika Phil kekal, dia boleh bermain dengan kerap dan selepas itu saya tidak tahu apa yang akan berlaku dengannya," Guardiola memberitahu sidang akhbar.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa dia akan menjadi Andres Iniesta kerana ia meletakkan tekanan kepadanya.

"Iniesta merupakan salah seorang pemain terbaik yang pernah saya saksikan seumur hidup, jadi kami tidak boleh meletakkan tekanan terhadap Phil.

"Bagaimanapun, dia mempunyai kualiti untuk kekal di sini selama 10 tahun kerana saya fikir dia mahu kekal, saya berasakan kelab menginginkannya.

"Begitupun, ia haruslah dibuat langkah demi langkah, dia perlu bermain secara teratur tetapi saya fikir dia mempunyai kesemua kemahiran untuk bermain dengan kami," jelasnya.

Foden telah membuat dua penampilan sulung ringkas dalam Liga Perdana musim ini sambil Guardiola mendakwa perkembangan fizikal remaja itu mendorong City untuk tidak melabur besar dalam pasaran perpindahan.

"Phil tiba musim lalu dan menunjukkan keistimewaannya dan itulah sebabnya kami tidak membeli pemain tengah menyerang dalam kedudukan itu," kata Guardiola. "Oleh sebab kami memiliki Phil dan dia bersama pasukan, jika dia berjuang, maka dia akan mempunyai peluang bermain.

"Dia merupakan pemain yang memiliki fizikal yang tegap dan kuat. Dia semakin membesar tahun lalu, dia masih perlu berkembang tetapi saya fikir selepas setahun lebih bersama kami, dengan rentak dan kepantasan yang kami peragakan, dia telah memahaminya dan itulah sebabnya dia sudah bersedia bermain di samping kami di tempat sendiri mahupun lawan. "