Antoine Griezmann berasakan ia akan menjadi "kegembiraan yang luar biasa" untuk bekerjasama dengan Lionel Messi selepas akhirnya menyelesaikan perpindahan ke Barcelona.

Griezmann menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan Barca, Jumaat lalu, selepas juara LaLiga berkenaan menebus kos klausa pelepasan €120 juta (RM557.1j) dalam kontraknya bersama Atletico Madrid.

Atletico, bagaimanapun, menegaskan Barca masih berhutang mereka €80 juta (RM371.4j) kerana mendakwa kelab Catalan itu membuka rundingan dengan Griezmann sebelum nilai klausa pelepasannya jatuh pada 1 Julai lalu.

Kontroversi itu dijangka berlanjutan tetapi Griezmann, yang bercakap menjelang pengenalan rasminya, menunjukkan keterujaan untuk beraksi di samping ketua pasukan, Messi.

"Sangat gembira dan tidak sabar untuk melihat kelibat Messi dalam sesi latihan setiap hari," kata Griezmann kepada laman sesawang Barcelona.

"Peluang untuk beraksi di sampingnya merupakan satu kegembiraan yang luar biasa.

"Bagi saya, ini adalah sebuah kelab gergasi dan saya harap dapat membantu perkembangannya -- atau mungkin lebih besar lagi.

"Saya sangat berharap dapat membentuk kerjasama dengan rakan sepasukan baru, pengurus selain peluang beraksi di Camp Nou dan berharap dapat memenangi banyak trofi.

"Saya suka mempunyai keseronokan di atas padang dan di dalam bilik persalinan. Saya suka bermain dengan keseronokan dan saya berharap dapat membawa banyak kegembiraan kepada rakan sepasukan dan peminat. Saya berharap kami dapat menikmatinya bersama-sama."

Griezmann akan menjalani ujian kesihatan sebelum diperkenalkan secara rasmi dalam sidang media hari ini.

Penyerang Perancis itu juga akan bersatu semula dengan rakan sepasukannya di peringkat antarabangsa, Samuel Umtiti dan Ousmane Dembele.

"Saya sangat gembira dan teruja. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai latihan skuad dan bertemu rakan sepasukan yang baru," katanya.

"Ini satu cabaran dan sasaran yang baru. Apa yang penting, saya harap saya dapat membuktikan keupayaan di sini seperti mana yang saya lakukan untuk bekas kelab dan negara saya.

"Dengan kehadiran Sam dan Ousmane, saya mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua mereka, saya tidak sabar untuk berjumpa dengan mereka."