Antoine Griezmann masih tidak pasti sama ada dia akan kekal dalam saingan LaLiga atau tidak selepas dikaitkan dengan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), ketika penyerang itu sudah bersedia untuk meninggalkan Atletico Madrid.

Griezmann akan menamatkan perkhidmatan selama lima tahunnya dengan Atletico dan penyerang skuad juara dunia Perancis itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Bagaimanapun, PSG menjadi destinasi yang mungkin disertai pemain itu ekoran ketidaktentuan masa depan dua penyerang bintangnya, Kylian Mbappe dan Neymar.

Dengan spekulasi yang kian memuncak mengenai masa depannya, pemain berusia 28 tahun itu masih kekal bersabar.

"Perlu bersabar dahulu, ia masih terlalu awal," katanya selepas Perancis menewaskan Andorra 4-0 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

"Saya mahukan masa depan saya ditentukan lebih daripada orang lain, namun masih perlu menunggu dulu.

"Saya tidak pasti sama ada akan kekal di Sepanyol. Dalam dua minggu lagi kita akan mengetahuinya.

"Saya hanya mahu bermain bola sepak dan bergembira," katanya.

Griezmann -- yang lahir di Perancis tetapi menghabiskan kebanyakan kariernya di Sepanyol -- menyertai Atletico daripada Real Sociedad pada 2014.

Sepanjang tempoh itu, dia telah menjuarai Liga Europa, Piala Super UEFA dan Piala Super Sepanyol di Madrid.

Griezmann menjaringkan 15 gol dalam saingan LaLiga musim 2018-19 -- 21 secara keseluruhan -- ketika Atletico menamatkan musim selaku naib juara di belakang Barca.