Antoine Griezmann mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Atletico Madrid pada akhir musim ini di celah-celah spekulasi yang mengaitkannya ke Barcelona.

Tempoh lima tahun tonggak Perancis berkenaan membintangi skuad kendalian Diego Simeone itu akan berakhir sebaik Atletico mengakhiri kempen LaLiga musim ini di Levante, Sabtu ini.

Satu kenyataan di Twitter Atleti semalam menyebut: "Antoine Griezmann telah memaklumkan kepada kelab bahawa dia tidak akan terus menjadi pemain Rojiblanco musim depan."

Barca dilihat sebagai destinasi seterusnya dengan Griezmann, 28, dilaporkan ingin mengorak langkah selepas menolak untuk berpindah tahun lalu.

Bekas pemain Real Sociedad berkenaan berpeluang menyertai Camp Nou sejurus selesai Piala Dunia 2018, namun hatinya berubah dengan menandatangani kontrak baru bersama Atleti sehingga 2023.

Keputusan itu didedahkan dalam sebuah rancangan khas yang panjang dan Griezmann muncul dalam video yang dimuat naik ke akaun media sosial Rojiblancos itu bagi mengumumkan keputusannya keluar.

"Lima tahun yang berlalu cukup luar biasa," kata Griezmann.

"Terima kasih di atas segala-galanya, ia akan tersemat di hati saya."

Griezmann muncul nama besar ketiga yang menuju pintu keluar Atleti pada akhir musim ini sambil mereka sah akan mengakhiri kempen LaLiga di belakang juara, Barca.

Rakan sepasukannya di kem Perancis, Lucas Hernandez, bakal menyertai Bayern Munich sementara pertahanan, Diego Godin, dijangka akan beralih ke kancah Serie A dengan menyertai Inter.