Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berkata Antoine Griezmann perlu lebih banyak melibatkan diri dalam permainan selepas melalui permulaan mengecewakan bersama juara bertahan LaLiga itu.

Griezmann melakukan penampilan LaLiga pertama buat Barca sewaktu mereka tewas 1-0 di tangan Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan, awal pagi tadi.

Menyertai Barca daripada Atletico Madrid menerusi perpindahan bernilai EUR120 juta (RM555 juta), semua perhatian terarah kepada pemenang Piala Dunia 2018 itu tetapi dia bergelut untuk memberikan impak semasa ketiadaan kapten, Lionel Messi, sambil Luis Suarez terpaksa digantikan selepas rehat akibat kecederaan.

"Jika dia mendekati kawasan lawan, dia lebih tajam dan bergerak lebih baik tetapi anda harus mendominasi perlawanan sebelum ia berlaku," ujar Valverde.

"Meletakkannya di sebelah kiri, kami tahu dia akan fokus terhadap jaringan tetapi kami memiliki pasukan yang mampu mengekang perlawanan.

"Sudah tentu dia sedar dengan semua harapan yang diharapkan daripada kebanyakan pemain dan dia perlu lebih banyak melibatkan diri dalam permainan."

Suarez meninggalkan San Mames selepas sejam perlawanan akibat kecederaan betis ketika berdepan Athletic.

Penyerang Uruguay itu digantikan selepas beberapa minit menggegarkan palang gol lawan di mana ia seharusnya menjadi gol pendahuluan buat Barca.

Valverde menambah: "Dia mengalami masalah otot dan kami perlu menunggu sesi ujian. Dalam babak kedua, apabila kami memenuhi ruang Athletic, kami rindukannya."

Bagaimanapun, Barca dikejutkan dengan gol pada minit ke-89 oleh pemain veteran, Aritz Aduriz, menerusi sepakan gunting.

Pemain berusia 38 tahun itu pantas memberikan impak selepas dibawa masuk dari bangku simpanan, menyambut bola hantaran lintang Ander Capa untuk memastikan tiga mata buat tuan rumah.

"Dengan Aduriz, setiap bola tinggi menjadi bahaya dan dia meraih gol," tambah Valverde.

"Pergerakan itu hebat dan dia menjaringkan gol sama. Apabila saya melihat dia melakukannya, saya tidak terkejut dengan kemampuan itu."