Antoine Griezmann "kecewa" dengan sikap Atletico Madrid selepas melengkapkan perpindahan bernilai €120 juta (RM557.1j) ke Barcelona, ​​menurut peguam pemain itu, Sevan Karian.

Atletico percaya juara LaLiga itu sepatutnya membayar €200 juta (RM928.5j) untuk memenuhi klausa pelepasan penggempur tersebut sambil mendesak bahawa mereka masih "berhutang €80 juta (RM371.4j), untuk mengesahkan perpindahan itu," kata mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Nilai kontrak pemain berusia 28 tahun itu jatuh kepada RM557.1 juta pada 1 Julai lalu, namun Atletico mendakwa Griezmann telah bersetuju dengan kontrak tersebut sebelum tarikh itu, maka presiden kelab, Enrique Cerezo, tidak berasa senang dengan cara pemergian tonggak Perancis itu.

Cerezo memberitahu RAC1 bahawa beliau kecewa dengan sikap Griezmann dengan berkata: "Dia mahu angkat kaki tetapi dia tidak memberitahu kami sehinggalah pada saat-saat akhir."

Karian turut menyatakan kepada L'Equipe tentang kekecewaan pemain itu sendiri dengan menyebut: "Antoine sangat kecewa dengan sikap Atletico dan pemimpinnya yang bertindak melampau selain bercakap sebaliknya daripada apa yang dinyatakannya dalam pertemuan peribadi sebelum ini.

"Biarkan pemimpin Atletico melakukan apa yang mereka mahukan, kami juga akan melakukan perkara yang sama.

"Tetapi buat masa ini, baginya (Griezmann), hujung minggu ini mahu dihabiskan untuk mencari rumah barunya."

Semalam, Barcelona menerusi media sosial mendedahkan Griezmann telah tiba di Barcelona menjelang perngenalan rasminya hari ini.