Antoine Griezmann mengakui peluang untuk beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Wanda Metropolitano telah memberikan tambahan motivasi buat pemain Atletico Madrid.

Atletico melangkah ke suku akhir kejohanan dalam empat daripada lima musim terakhir dan bakal melayan kunjungan gergasi Itali, Juventus, awal pagi Khamis ini bagi aksi getir pusingan 16 musim ini.

Kekurangan motivasi mungkin tidak akan menjadi isu utama menjelang aksi menentang kelab Serie A itu tetapi Griezmann percaya peluang untuk beraksi di pentas final di laman sendiri memberikan lebih dorongan buat pasukan bimbingan Diego Simeone itu.

"Ia memberikan kami serta penyokong motivasi tambahan," katanya.

"Sentiasa ada suasana hebat dan itu yang kami perlu dan mahukan selaku pemain. Aksi final di laman sendiri tentunya menjadi sesuatu yang indah buat Atletico.

"Laluan akan menjadi sukar tetapi kami akan cuba yang terbaik. Kami akan lakukan segala yang mampu untuk menuju ke sana dan lihat nanti."

Atletico dilihat selaku salah sebuah pasukan yang utuh susulan kejayaan menjulang trofi Liga Europa musim lalu dan Griezmann percaya kesinambungan daripada pengalaman beraksi di pentas besar akan membantu mereka apabila memasuki saingan kalah mati Liga Juara-Juara.

"Kami memiliki barisan pemain yang sudah beraksi dalam final Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala Dunia," tambah Griezmann.

"Keyakinan kami semakin meningkat dalam perlawanan penting dan saya fikir terdapat beberapa kali di mana kami meningkatkan corak permainan. Ia membantu kami.

"Terdapat muka baru dalam pasukan tetapi saya rasa asas skuad masih sama. Ia membantu kami melangkah jauh."