Antoine Griezmann mendedahkan keperluan bermain sebagai pemain sokongan buat Lionel Messi di Barcelona merupakan faktor untuknya kekal bersama Atletico Madrid.

Griezmann telah dikaitkan dengan perpindahan ke Nou Camp sebelum Piala Dunia dan ramai penyokong Barca teruja untuk menyaksikan pemain kebangsaan Perancis itu beraksi bersama-sama Messi.

Penyerang itu hampir memeterai penghijrahannya sebelum melakukan pusingan U dan menetapkan masa depannya bersama Atleti dengan menandatangani kontrak sehingga Jun 2023.

Bercakap kepada Canal Plus, Griezmann mengakui menolak tawaran Barca adalah sukar tetapi menaburkan kesetiaannya kepada Atleti selepas sokongan yang diterima daripada seluruh warga kelab itu.

"Sukar untuk menolak Barca? Semestinya. Barca mahukan saya, menghubungi serta kerap memberikan pesanan kepada saya," katanya.

"Tetapi melihat kepada Atleti, mereka telah membentuk saya menjadi seorang pemain yang berkualiti dan tonggak utama kepada pasukan ini.

"Beraksi sebagai pemain sokongan Messi turut menjadi sebahagian daripada keputusan saya menolak Barcelona.

"Rakan-rakan sepasukan Atleti telah melakukan segala-galanya, berbincang dengan saya, kelab turut meningkatkan lagi gaji saya.

"Mereka telah melakukan segala-galanya untuk membuat saya berasa seperti di rumah dan saya mengambil keputusan untuk terus bersama pasukan ini," jelasnya.