Antoine Griezmann mengakui Juventus terlalu unggul dalam segenap aspek selepas bintang Atletico Madrid itu dilanda kekecewaan apabila pasukannya terkandas dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) angkara Cristiano Ronaldo.

Bekalan selesa 2-0 Atletico lebur di tangan hatrik Ronaldo yang membantu kemenangan 3-0 Juve di Turin awal pagi tadi untuk untuk melengkapkan kebangkitan gemilang di Turin.

Ronaldo menyamakan kedudukan dengan hatrik kelapannya dalam pertandingan itu untuk menyamai angka hatrik Lionel Messsi untuk Juve mengatasi Atletico 3-2 secara agregat.

Atletico -- kalah dalam perlawanan akhir edisi 2014 dan 2016 -- bergelut sepanjang permainan dan Griezmann meratapi prestasi pasukannya di tempat lawan.

"Kami tidak bermain seperti mana yang kami mahukan. Ia adalah malam yang buruk dan kami memudahkan tugas Juventus," kata Griezmann kepada Sky Sport Italia.

"Kami semua kecewa kerana gagal mempamerkan aksi sebenar. Saya yang pertama mengatakan usaha saya belum mencukupi kerana tempo permainan kami salah dan Juventus unggul dalam setiap aspek.

"Memandangkan kami memenangi pertemuan pertama 2-0, kami tidak boleh mengulas banyak. Saya tidak tahu apa yang berlaku, ia mengingatkan saya tentang perlawanan membabitkan Bayern Munich tetapi pada masa itu, kami dapat membuat beberapa penyesuaian. Juve lebih unggul dalam segala aspek.

"Ronaldo merupakan pemain yang hebat: dia mempunyai tiga peluang dan menanfaatkan ketiga-tiganya."

Ronaldo mencetuskan kebangkitan Juve menerusi gol pembukaan pada minit ke-27 sebelum sekali lagi tandukannya melepasi penjaga gol Atletico, Jan Oblak, empat minit selepas babak kedua bersambung.

Bintang berusia 34 tahun itu kemudian melengkapkan perlawanan itu menerusi sepakan penalti ketika permainan berbaki empat minit.

Ketua pasukan Atletico, Diego Godin, menambah: "Kami tidak dapat mencari jalan untuk menyerang mereka.

"Mereka mampu menjaringkan gol dan kami tidak dapat menjaringkan gol yang kami perlukan untuk melayakkan diri. Kami akan terus bekerja keras sehingga habis musim ini."