Antoine Griezmann berkata kini adalah masa yang tepat untuk menyertai Barcelona selepas melengkapkan perpindahan daripada Atletico Madrid.yang sekian lama dinantikan-nantikannya.

Penyerang Perancis itu menandatangani kontrak selama lima tahun selepas Barca bersetuju menebus nilai klausa pelepasannya, €120 juta (RM557.1 j).

Griezmann hampir menyertai Barca tahun lalu sebelum mengesahkan akan kekal dalam satu dokumentari di televisyen.

Penyerang berkenaan mengakui melakukan pusingan 'U' dalam ulasan pertamanya sejak diumumkan sebagai pemain Barca, semalam.

"Ketika saya masih kecil, ayah mengajar saya bahawa kereta api tidak hanya singgah sekali sahaja," kata Griezmann dalam video yang dimuat naik Barcelona di Twitter.

"Kini sudah tiba masanya untuk memikul cabaran di destinasi yang baru. Akhirnya, kami sudah mencapai kata sepakat.

"Saya akan mempertahankan Barca dengan segala tekad dan komitmen," ujarnya.

Bagaimanapun, perpindahan itu tidak berjalan seperti yang dilaporkan berikutan Atletico menegaskan bahawa Barcelona sepatutnya membayar €200 juta (RM928.5j) untuk mengaktifkan klausa pelepasannya.

Mereka mempertikaikan persetujuan yang dicapai pemain Perancis itu dengan Barca sebelum kontraknya ditebus pada 1 Julai.

"Atletico Madrid percaya penamatan kontrak itu telah berlaku sebelum akhir musim lalu sehingga mempengaruhi tindakan, aksi dan demonstrasi yang dilakukan pemain itu sendiri.

"Itulah sebabnya kami telah memulakan prosedur yang dianggap sesuai untuk mempertahankan hak dan kepentingan kami yang sah," kata kenyataan kelab itu.