Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin, mendakwa dia sudah mengetahui sejak Mac lalu bahawa Antoine Griezmaan akan menyertai Barcelona musim depan.

Griezmann mendedahkan keinginannya untuk meninggalkan Atletico selepas tamat musim 2018-19 bagi mencari cabaran baru walaupun baru memperbaharui kontraknya bersama kelab itu tahun lalu.

Ketika Griezmann bersetuju menandatangani kontrak itu, dia mengumumkan kesediaannya dalam sebuah video ala dokumentari bagi menamatkan spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan Barcelona.

Musim ini bukanlah musim terbaik buat Griezmann dengan dia menjaringkan 15 gol daripada 37 perlawanan liga, jauh berbeza dengan musim sebelumnya di mana dia menjaringkan 19 gol daripada 32 penampilan.

Spekulasi perpindahannya ke Barcelona kian senyap sejak beberapa minggu lalu, dengan Atletico mendedahkan mereka tidak dihubungi sesiapa daripada juara liga itu walaupun Gil Marin seakan-akan pasti bintang Perancis berkenaan akan ke Camp Nou.

"Saya tahu ke mana Griezmann akan pergi, ke Barcelona.

"Saya sudah mengetahuinya sejak Mac lalu," katanya kepada Movistar.

Griezmann mempunyai kontrak dengan Atletico hingga 2023 dan dilaporkan dengan klausa pelepasan bernilai €120 juta (RM564.1 juta).