Andreas Granqvist memuji penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika Sweden menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan F, Piala Dunia di Stadium Nizhny Novgorod, semalam.

Kapten pasukan berusia 33 tahun itu menjaringkan satu-satunya gol menerusi sepakan penalti dalam separuh masa kedua.

Pengadil, Joel Aguilar, pada mulanya memutuskan Kim Min-woo memenangi bola ketika meluncur mencabar Viktor Claesson di kawasan itu tetapi dia mengubah keputusannya selepas menonton ulang tayang yang disediakan pembantu video.

Granqvist tidak membuat kesilapan selepas perlawanan tertangguh lama, mengelirukan penjaga gol, Jo Hyeon-woo, untuk menjaringkan gol Piala Dunia pertama Sweden sejak 2006, dan pemain tengah itu lega menyaksikan sistem rujukan krotroversi itu memberi kesan yang baik.

"Kami berasakan ada insiden dalam babak pertama dengan Ola Toivonen ketika pengadil tidak memberikan ganjaran dan itu betul," katanya dalam sidang akhbar.

"Ia mengambil masa beberapa saat dengan VAR tetapi kami sangat gembira kerana menggunakannya hari ini. Kamu harus menumpukan perhatian tetapi saya tenang, saya menunggu penjaga gol, saya cuba menjaringkan gol ke arah sudut."

Sweden melepasi beberapa peluang sebelum jaringan Granqvist pada minit ke-65 itu, dengan penyerang, Marcus Berg, terlepas dua peluang keemasan dalam separuh masa pertama.

Granqvist mengakui mereka boleh menamatkan perlawanan itu lebih pantas tetapi memuji pasukannya yang menunjukkan daya saing sama seperti dua perlawanan menentang Itali dalam play-off kelayakan.

"Ia hebat untuk berada di sini sebagai pemenang," katanya. "Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini selepas melihat Mexico mengalahkan Jerman, menjadikan kumpulan lebih sukar.

"Kami menunjukkan karakter yang sangat hebat. Kami membuktikannya dalam perlawanan. Kami boleh memulakan babak pertama dengan lebih baik, kami mencipta tiga atau empat peluang terbaik.

"Kami mungkin boleh menjaringkan gol sekurang-kurangnya dua kali. Kami mendapat penalti dan kemudian kami hanya berjuang sehingga akhir."