BORUSSIA DORTMUND 1 MAN CITY 0

Mario Gotze menyumbat gol tunggal dalam penampilan pertama Riyad Mahrez bersama Manchester City ketika Borussia Dortmund menundukkan pasukan bimbingan Pep Guardiola itu 1-0 dalam aksi pertama Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).


Mahrez melakukan penampilan pertama di Chicago semalam selepas melengkapkan rekod perpindahan kelab bernilai RM320 juta dari Leicester City, awal bulan ini.

Bintang Algeria itu mempamerkan kualiti yang dimiliki buat juara Liga Perdana Inggeris itu dan dia hampir menjaringkan gol sebelum tamat babak pertama menerusi situasi bola mati tetapi barisan muda City tunduk di tangan Dortmund dalam aksi di Soldier Field.

Gotze yang memakai lilitan ketua pasukan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-28 selepas rakan sepasukannya, Christian Pulisic, dikasari oleh Oleksandr Zinchenko.

Aksi Piala Dunia menyebabkan beberapa kelibat pemain tidak dapat diturunkan oleh City seperti Gabriel Jesus, Sergio Aguero, Kyle Walker, Danilo, Vincent Kompany, John Stones, Raheem Sterling, Ilkay Gundogan, Kevin De Bruyne, Fabian Delph, Bernardo Silva, David Silva, Benjamin Mendy, Fernandinho, Nicolas Otamendi dan Ederson.

Bagaimanapun, Guardiola masih mampu menurunkan Mahrez dan Claudio Bravo, sambil meletakkan Leroy Sane dan Aymeric Laporte di bangku simpanan.

Sementara itu, Dortmund yang dibimbing Lucien Favre, menewaskan wakil Austria, Vienna, 1-0 minggu lalu, juga turun tanpa beberapa pemain seperti Raphael Guerreiro, Shinji Kagawa, Roman Burki serta muka baru, Thomas Delaney dan Manuel Akanji, namun tetap mempertaruhkan Gotze dan Pulisic.

City memulakan perlawanan dengan baik sambil diketuai oleh Mahrez dan mereka dilihat banyak melakukan pergerakan dari sebelah kiri tetapi tidak banyak memberikan ancaman buat penjaga gol, Marwin Hitz.

Dortmund mula mengatur gerakan dan dilihat menemui rentak selepas setengah jam perlawanan.

Zinchenko ditembusi oleh Pulisic yang menerima bola, sebelum dikasari oleh pertahanan dari Ukraine itu di dalam kotak penalti dan Gotze tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut.

Benteng City sekali lagi diancam apabila Aleksander Isak mendekati Bravo tetapi pemain dari Sweden itu sekadar melepaskan percubaan yang singgah ke tepi jaring gol.

Mahrez, turun dalam aksi pertama bersama City, hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma tetapi rembatannya dinafikan oleh Hitz.

Joe Hart, pemain yang kini sedang mengintai peluang untuk meninggalkan Etihad secara tetap, menggantikan Bravo dalam babak kedua, sambil Dortmund melakukan 10 pertukaran.

Dortmund sekali lagi gagal menambah jaringan dalam separuh masa kedua walaupun Max Philipp menyumbat gol kedua kerana pengadil mendakwa dia berada dalam posisi ofsaid.

Hart diberi peluang oleh Guardiola ketika permainan berbaki 19 minit dan bekas penjaga gol nombor satu England itu yang dipinjamkan ke West Ham United pada musim lalu, menafikan percubaan Jadon Sancho.