Pemain tengah Bayern Munich, Leon Goretzka, bakal direhatkan selepas menjalani pembedahan pada bahagian paha kiri.

Bekas pemain Schalke itu menjalani pembedahan tersebut semalam susulan kecederaan yang dialami, bulan lalu.

Sebelum ini, Goretzka terlepas peluang untuk mewakili negaranya dalam saingan kelayakan Euro 2020 menentang Belanda dan Ireland Utara.

"Bayern bakal menghadapi saingan musim ini buat seketika tanpa kelibat Goretzka," kata wakil kelab.

"Pemain berusia 24 tahun itu mengalami satu lagi kecederaan pada bahagian paha kiri sehingga terpaksa menjalani pembedahan, semalam. Pembedahan itu telah berjaya."

Goretzka terlepas dua aksi awal Bundesliga bersama Bayern musim ini tetapi kembali memanaskan bangku simpanan sewaktu menundukkan Mainz 6-1, hujung bulan lalu.

Dia melakukan 30 penampilan liga buat skuad kendalian Niko Kovac itu, musim lalu serta menjaringkan lapan gol.