AJAX 1 REAL MADRID 2

Pemain tengah Ajax, Frenkie de Jong, melabel sistem video bantuan pengadil (VAR) lebih cenderung memihak kepada "kelab besar" selepas pasukannya tumbang 1-2 kepada Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Gol kedua dalam babak kedua daripada Karim Benzema dan Marco Asensio memberikan Madrid kemenangan bermakna dalam aksi pusingan 16 itu di Arena Johan Cruijff biarpun Hakim Ziyech menyalakan semula harapan kebangkitan mereka.

Jaringan Nicolas Tagliafico dalam babak pertama dibatalkan selepas VAR mengesan Dusan Tadic yang berada di kedudukan ofsaid telah mengganggu penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois.

De Jong, yang akan menyertai juara LaLiga, Barcelona, Julai depan dengan perjanjian bernilai €86 juta (RM394 juta), berpendapat keputusan itu biasanya akan memihak kepada pasukan gergasi.

"Kami melakukan sesuatu yang menarik dan malangnya jaringan kami dibatalkan. Mungkin sesuatu seperti itu cenderung memihak kepada kelab besar," katanya kepada NOS.

"Bagaimanapun, kami menelan hakikat itu dan mencipta beberapa peluang selepas itu. Malangnya kami masih buntu untuk mencatat keputusan yang lebih baik.

"Di Sepanyol kelak, kami perlu bermain seperti di tempat sendiri menerusi keberanian dan keyakinan.
Keputusan belum lagi muktamad, Real akan berasa lebih tertekan di depan peminat mereka sendiri," katanya.

Ziyech, yang menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 15 minit, kesal kerana Asensio diberi ruang untuk merakamkan gol kemenangan pada lewat permainan (minit ke-87) sambil menegaskan Ajax akan ke Santiago Bernabeu tanpa rasa takut.

"Kami boleh berbangga dengan pasukan ini," katanya. "Kami berjuang bersama-sama. Ia amat mengecewakan kerana dibolosi pada minit-minit terakhir.

"Jika kami bermain dengan sikap dan keberanian yang sama, maka kami tidak perlu takut kepada Bernabeu."