Pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, berharap Ousmane Dembele akan terus mencetuskan kegembiraan buat kelab itu selepas usaha solo memukaunya dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Tahap disiplin Dembele menjadi tumpuan sejak tiba dari Borussia Dortmund pada 2017, namun pemain Barcelona itu mempamerkan gerakan mempesonakan untuk menyumbat gol menakjubkan ketika seri 1-1 dengan Tottenham.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 21 tahun itu membuka jaringan pada minit ketujuh permainan setelah merampas bola daripada Kyle Walker-Peters sebelum menggelecek Harry Winks dan melepasi Hugo Lloris.

Valverde gembira aksi yang diperagakan oleh anak buahnya itu dengan memberitahu pemberita: "Dia telah menyumbat satu gol yang hebat yang hanya mampu dilakukan oleh pemain berbakat sepertinya.

"Kami gembira dengannya dan kami sudah mengatakannya sepanjang musim.

"Kami berusaha menyelesaikannya secara dalaman, kami berharap dia dan pemain yang lain akan terus memberikan kami banyak kegembiraan."

Dembele dilaporkan tiba lewat dua jam untuk mengikuti sesi latihan Isnin lalu dan apabila ditanya sama ada kesalahannya itu telah dimaafkan, Valverde menjawab: "Saya tidak tahu, esok kami akan mengadakan latihan."

Dengan tempat dalam pusingan 16 sudah terjamin, Barca terpaksa berkongsi mata dalam pertemuan terakhir Kumpulan B itu selepas Lucas Moura menyamakan kedudukan ketika permainan di Camp Nou itu bersisa lima minit.

Walaupun Barca tidak mampu meraih mata maksimum, gergasi LaLiga tersebut menyamai rekod Bayern Munich, tanpa kalah di tempat sendiri dalam 29 perlawanan berturut-turut dalam saingan UCL yang bertahan sejak September 2013.

"Kami mengawal permainan dengan baik dalam babak pertama, jaringan Dembele memberi jaminan kepada kami sebelum kami mengalami sedikit masalah," kata Valverde.

"Dalam babak kedua, kami membayangkan bahawa pihak lawan akan berhempas-pulas kerana mereka terpaksa melakukannya.

"Kami tidak mempunyai ketenangan untuk merampas bola dan memulakan gerakan dari bahagian pertahanan.

"Mungkin kami tidak mendominasi perlawanan seperti yang diharapkan tetapi anda semua perlu memahami situasi ini, kami tidak rugi apa-apa dan mereka perlu mengambil risiko."

Lionel Messi sempat muncul sebagai pemain gantian untuk turun buat kali keenam bagi aksi Kumpulan B itu.

"Adalah lebih baik baginya berpeluang beraksi sekejap dan membuat gerakan, dia menggemarinya.

"Kami tidak perlu menjelaskan kepada anda tentang pemain kami, ada pemain yang tidak disenaraikan kerana kami telah mengharungi perlawanan yang sengit, tiga hari lalu," tambah Valverde.