Pertahanan Uruguay, Diego Godin, berkata persiapan pasukannya tidak akan diubah hanya untuk mengikat pergerakan bintang Mesir, Mohamed Salah, menjelang aksi Kumpulan A di antara kedua-dua pasukan, malam ini.

Salah dijangka kembali memperkuatkan Mesir selepas pulih daripada kecederaan yang dialami ketika aksi final Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid bulan lalu.

Kembalinya penggempur Liverpool itu pastinya memberikan tonik terbaik buat Mesir yang bakal melakukan penampilan pertama dalam Piala Dunia selepas 28 tahun.

Namun, Uruguay, pasukan yang menduduki tempat keempat dalam Piala Dunia 2010, tidak akan mengubah corak permainan mereka.

"Kami sudah melakukan persiapan sejak sekian lama untuk Piala Dunia dan ia tidak akan tertumpu kepada hanya satu pemain," ujar Godin.

"Salah adalah pemain yang hebat tetapi Uruguay tetap bersedia, tidak kira sama ada dia beraksi atau tidak.

"Kami berada pada tahap fokus tertinggi untuk menghadapi Mesir," tambahnya.

Bulan lalu, kecederaan yang dialami Salah adalah hasil perlanggaran dengan kapten Madrid, Sergio Ramos, tetapi Godin percaya pemain Sepanyol itu tidak mempunyai sebarang niat selain hanya ingin mendapatkan bola.

"Sejujurnya, saya tidak percaya akan semua tanggapan ramai terhadap Ramos. Saya menonton perlawanan itu dan situasi tersebut biasa berlaku," ujarnya.