Serge Gnabry berkata dia sentiasa gembira untuk pulang ke London selepas menjaringkan dua gol yang membantu Bayern Munich menewaskan Chelsea 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Gnabry menjaringkan empat gol ketika pasukannya menewaskan Tottenham 7-2 di ibu negara England itu Oktober lalu.

Pemain kebangsaan Jerman itu -- yang juga bekas pemain Arsenal -- sekali lagi menyinar dalam kunjungannya ke London.

Penyerang itu menjaringkan dua gol pertama Bayern yang hanya berselang tiga minit dalam babak kedua sebelum Alphonso Davies membantu Robert Lewandowski melebarkan jurang itu pada 14 minit terakhir.

"Saya sentiasa begitu," katanya kepada BT Sport ketika ditanya sama ada dia gembira untuk beraksi di London.

"Saya mempunyai ramai rakan di sini.

"Ramai daripada mereka berada di temapt duduk penonton malam ini dan saya fikir mereka memberikan saya tenaga.

"Sudah pasti saya sentiasa gembira untuk kembali ke sini," katanya.


Bayern sudah sebelah kaki ke suku akhir menjelang pertemuan kedua 18 Mac ini.

Begitupun, Gnabry menegaskan juara Bundesliga itu tidak boleh berasa selesa dengan kelebihan tiga gol berkenaan.

"Kelebihan tiga gol ini memberikan kami keyakinan.

"Kami perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan kedua dan perlu sentiasa serius untuk menghadapinya.

"Kita dapat lihat musim lalu bagaimana Liverpool memadamkan kelebihan 3-0 milik Barcelona.

"Kami sedar kami perlu berhati-hati.

"Kami perlu mengadapi perlawanan timbal balik dengan penuh fokus.

"Kami sedar kami perlu bersabar, kami perlu mengawal permainan dalam babak pertama.

"Kami memilki beberapa peluang dan tidak memanfaatkannya tetapi kami tahu kami akan memperoleh peluang pada penghujung permainan dan kami mengambilnya," tambahnya.