Bekas pemain sayap Arsenal, Serge Gnabry, menyasarkan kejayaan di pentas Liga Juara-Juara Eropah bersama Bayern Munich selepas melalui prestasi naik turun ketika dalam kancah Liga Inggeris.

Pemain berusia 24 tahun itu dinamakan selaku Pemain Terbaik Tahunan Bayern musim lalu selepas memainkan peranan menghasilkan 15 gol dalam saingan Bundesliga.

Situasi itu jelas berbeza dengan persembahannya ketika di Arsenal tatkala dia hanya beraksi 18 kali dalam tempoh lima tahun di Emirates.

Gnabry juga bergelut untuk memberikan impak sewaktu dipinjamkan ke West Bromwich Albion bagi musim 2015-16 tetapi dia tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan buatnya.

"Menyertai Arsenal mungkin satu langkah luar biasa buat sesetengah pemain tetapi bukan saya," katanya kepada DAZN.

"Jika sebuah kelab seperti Arsenal memberi tawaran dan memberitahu mahu anda berada dalam pasukan, berbekalkan pengendali seperti Arsene Wenger yang dikenali sering memberi peluang buat pemain muda, ia adalah kesempatan terbaik.

"Saya benar-benar mahu menggunakan peluang ini. Tempoh di England telah membentuk saya. Saya akan melakukan perkara sama sekali lagi."

Gnabry mengembangkan karier pada 2016 apabila menyertai Werder Bremen dan Bayern Munich setahun kemudian menerusi perpindahan bernilai EUR8 juta (RM37 juta).

"Perpindahan keluar daripada Arsenal berlaku kerana saya tidak mahu beraksi sedikit dalam setiap pertandingan. Jadi, saya berkata, 'baiklah, saya perlu undurkan diri'," tambahnya.

"Di Bremen, saya meraih banyak waktu permainan. Sebab itu saya kembali menikmati bola sepak."

Memainkan peranan besar dalam kejayaan Bayern menjulang trofi liga dan piala domestik musim lalu, Gnabry kini menyasarkan kejuaraan di pentas Eropah.

"Kini, saya telah memenangi liga dan piala bersama Bayern. Saya juga mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara," katanya.

"Ini adalah impian yang saya serta rakan sepasukan impikan.

"Saya berpuas hati dengan tempoh beraksi di sini, itu paling penting. Semakin hari, saya mahu memegang peranan di mana pada usia 24 tahun, saya mampu membantu pasukan."