WALES 1 DENMARK 2

Ryan Giggs mengekalkan maruahnya selaku ketua jurulatih Wales walaupun tewas 1-2 kepada Denmark dalam aksi Kumpulan 4 Liga B, Liga Negara-Negara Eropah di Cardiff, awal pagi tadi.


Jaringan daripada Nicolai Jorgensen dan Martin Braithwaite memastikan kelayakan Denmark ke saingan utama selepas meraih dua kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan itu.

Wales turut memperoleh satu jaringan di penghujung perlawanan menerusi bintang Real Madird, Gareth Bale, -- 84 saat selepas jaringan Braithwaite -- namun belum mampu mengubah keputusan perlawanan.

Di sebalik keputusan mengecewakan itu, Giggs masih mampu memandangnya dari sudut positif walaupun pasukan mudanya itu terlepas peluang melayakkan diri ke Liga A.

"Ia perlawanan yang menarik, dua pasukan yang setara dan banyak peluang terhasil.

"Kami hampir memperoleh keputusan yang lebih baik," katanya kepada Sky Sports.

"Kami berdepan lawan yang hebat, efisien dan bagus dalam apa yang mereka lakukan.

"Mereka menyudahkan kerja dan memenangi perlawanan.

"Saya katakan kepada pemain-pemain muda yang saya berbangga dengan mereka.

"Mereka berjuang sehingga ke penghujung dan membuatkan saya dan penyokong teruja.

"Namun, kami perlu belajar daripada Denmark. Mereka amat berdisiplin.

"Mereka sudah bersama untuk tempoh yang lama dan pasukan yang sukar untuk ditewaskan.

"Secara keseluruhan, berdasarkan dua pertemuan kami, tiada jurang yang besar di antara kedua-dua pasukan," tambahnya.

Wales memperoleh peluang untuk mengemudi perlawanan dalam babak pertama, namun tandukan Bale dan James Chester gagal menemui sasaran.

Jorgensen kemudian melakukan serangan balas pantas untuk menghasilkan gol pertama pelawat.

Giggs mengakui gol pembukaan amat penting dalam sebarang perlawanan.

Apabila ia diperoleh pelawat, mereka akan bertambah yakin untuk mengekalkan rentak permainan.

"Mereka jarang dibolosi.

"Apabila mereka memperoleh jaringan pendahuluan, mereka kembali ke posisi bertahan yang kukuh dan berdisiplin.

"Kami masih mampu bersaing selepas itu dengan beberapa tandukan melepasi palang dan siri kecederaan yang menimpa.

"Nasib tidak menyebelahi kami, namun barisan pemain tetap berjuang sehingga ke penghujung perlawanan," katanya lagi.