WALES 4 IRELAND REPUBLIK 1

Ryan Giggs menjangkakan masa depan cerah bagi Ethan Ampadu selepas pemain berusia 17 tahun itu membantu Wales meraih kemenangan 4-1 dalam saingan Liga Negara-Negara (UEFA) ke atas Ireland Republik.


Bintang Real Madrid, Gareth Bale, menjaringkan gol yang menakjubkan sebelum dia melakukan umpanan jaringan pertama Wales yang disempurnakan oleh Connor Roberts tetapi Ampadu mencuri tumpuan ketika beraksi sebagai pemain tengah di Stadium Cardiff City.

Pemain muda itu melakukan penampilan dalam skuad kebangsaan buat kali ketiga, terlibat dalam dua jaringan Wales dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara, aksi kompetitif pertama di bawah kendalian Giggs.

"Ampadu adalah seorang pemain yang berbakat," kata Giggs. "Pada usia muda, corak permainannya sangat matang -- dia akan memiliki masa depan yang cerah.

"Wales telah bermain dengan baik, meraih jaringan yang banyak dan mempamerkan permainan yang berkualiti. Pada permulaan ini, kami melakukan rombakan dalam pasukan, menurunkan barisan pemain berpengalaman dan yang baru.

"Saya menikmati persembahan ini dan yaki mereka mampu beraksi dengan lebih baik. Saya berbangga dengan kemenangan ini.

Ireland tidak tewas dalam lapan perlawanan berdepan Wales tetapi tewas buat kali kedua dalam saingan kompetitif, apabila tewas 5-1 kepada Denmark November lalu bagi saingan play-off Piala Dunia.