Ryan Giggs gembira masa depan Gareth Bale bersama Real Madrid sudah diselesaikan dan menegaskan penyerang Wales itu tetap menjadi pilihannya jika berhijrah ke China.

Bale kelihatan di ambang berkelana ke kelab Liga Super China, Jiangsu Suning, selepas dirinya dengan pengendali Real, Zinedine Zidane, tidak lagi sehaluan.

Bagaimanapun, perpindahannya tidak disempurnakan dan Zidane menjelaskan Bale akan kekal di Madrid sehingga berakhirnya jendela perpindahan kali ini.

Berbincang mengenai skuadnya itu bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2020 dengan Azerbaijan bulan depan, pengurus Wales, Giggs berkata, "Saya masih lagi berhubung dengan Bale bagi mengetahui keadaannya.

"Ia merupakan situasi yang pelik tetapi berharap segalanya telah diselesaikan -- Bale kekal dan bermain bola sepak.

"Ia adalah sesuatu yang positif buat masa ini, saya sangat berpuas hati dengan situasinya dan tidak sabar untuk mendapatkan khidmatnya bersama skuad Wales.
Ditanya mengenai perpindahan ke China akan memberikan impak kepada karier Bale di pentas antarabangsa, Giggs membalas, "Ia bukanlah satu perpindahan yang ideal.

"Jadual pertandingan di Eropah dan Asia berbeza serta persaingannya yang kurang kompetitif -- namun saya tetap akan memilihnya."

Bekas bintang Manchester United, Giggs, percaya pemain sayap The Red Devils, Daniel James, memerlukan perlindungan daripada pengadil.

James telah dilayangkan kad kuning kerana melakukan simulasi ketika United seri 1-1 dengan Wolves ketika dia kerap kali dikasari pemain lawan.

"Anda dapat melihat dia telah dikasari pemain lawan," tambah Giggs.

"Kadangkala anda dapat menjangka terjahan daripada pemain lawan dan pemain yang berjaya mengelak daripada dikasari mungkin dilihat seperti melakukan simulasi.

"Pengadil harus lebih melindunginya bagi mengelak kecederaan yang serius."