Trent Alexander-Arnold gembira dibandingkan dengan nama-nama tersohor tetapi legenda Liverpool, Steven Gerrard, kekal menjadi penanda aras buatnya untuk muncul sebagai wira baru di Anfield.

Pertahanan England itu telah tampil dalam kesemua perlawanan membabitkan The Reds musim ini yang menyaksikan mereka memiliki kelebihan lapan mata ke atas juara bertahan, Manchester City.

Biarpun mempunyai rekod pertahanan terburuk liga, ancaman situasi bola mati dan terbuka daripada pemain berusia 21 tahun itu sering membantu mereka untuk meraih mata.

Dia melepaskan satu tendangan bebas dalam kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di Stamford Bridge selain mencetak dua bantuan gol sepanjang musim ini.

Bintang City, Kevin de Bruyne, pula hadir dengan reputasi luar biasa dalam bentuk bantuan gol, iaitu sebanyak lapan kali sehingga mendorong bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, percaya masa depan Alexander-Arnold mungkin terletak sebagai pakar dalam hal itu, setanding dengan pemain tengah tersebut.

Seorang lagi bekas pemain kesayangan kelab itu, Danny Murphy, pula menyamakan persembahan anak muda berkenaan dengan David Beckham tetapi hanya seorang pemain yang amat disanjungi Alexander-Arnold.

Bercakap kepada wartawan menjelang perlawanan Kumpulan A, kelayakan Euro 2020 di antara England dan Republik Czech awal pagi esok dan ketika ditanya sama ada dia mencontohi sebarang pemain, dia menjawab: "Gerrard. Apa jua mengenai corak permainannya amat saya kagumi, saya sentiasa belajar dan mahu menjadi sepertinya.

"Jika saya terpaksa memilih seorang pemain, dia akan menjadi orangnya.

"Saya tidak pernah menyangka bahawa saya mampu membuat hantaran lintang seperti itu. Ia hanya berlaku secara semula jadi lalu saya mengasahnya.

"Itulah yang saya cuba dan lakukan, mungkin ia aset terbaik ketika saya menyerang dan cuba menggunakannya dengan kerap."

Alexander-Arnold, bagaimanapun, enggan mendabik dada apabila dibandingkan dengan nama-nama besar tersebut.

"Ia mungkin tidak begitu penting untuk dibuat perbandingan kerana pada usia muda sebegini, saya belum mencapai apa yang pernah dilakukan oleh mereka," katanya.

"Adalah sukar untuk mengatakan sama ada saya mampu mencapai tahap itu atau tidak. Siapa tahu?

"Buat masa ini, saya bersikap terbuka dan mahu mencapai tahap seperti itu serta mengikuti jejak mereka. Mampu mencapai tahap yang telah mereka capai dan dianggap sebaris dengan mereka adalah sesuatu yang diingini pemain terbilang.

"Ia adalah pendapat orang ramai. Ia sesuatu yang manis untuk dilabel seperti itu itu tetapi bagi saya, saya mahu cuba mencapai tahap lebih tinggi lagi dan menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia."

Seperti kelabnya, England turut memenangi semua perlawanan kelayakan membabitkan mereka dan dijangka akan mengesahkan tiket kelayakan pada minggu depan.

Bagaimanapun, kemenangan 5-3 ke atas Kosovo di St Mary's dalam pertembungan lalu memberi isyarat bahawa masih terdapat perkara yang perlu dilakukan di bahagian pertahanan.

"Jika kami mahu dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Eropah, mahu pergi jauh dalam Euro 2020 dan cuba memenangi kejohanan itu, maka kami perlu kurangkan faktor dibolosi sementara perlu lebih tajam lagi," tambahnya.

"Sebagai pertahanan, pasukan dan sebuah unit, kami perlu terus berkembang dan itulah yang akan kami lakukan - menganalisis apa yang silap dan pastikan ia tidak berulang lagi.

"Kosovo dipandang rendah. Begitupun, sebelum perlawanan itu, kami amat menghormati mereka kerana sedar ancaman yang mampu mereka timbulkan.

"Kami bernasib baik dapat mengatasi mereka tetapi tidak berpuas hati dengan gol yang kami berikan. Itulah sesuatu yang perlu kami atasi bersama-sama."