Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, terkejut betapa pantas pasukannya meningkat naik sejak dia menggantikan Vincenzo Montella.

Gattuso mengambil alih tugas daripada Montella pada November lalu yang menyaksikan pasukannya hanya memenangi dua daripada sembilan aksi Serie A di sebalik pembelian pemain secara besar-besaran ketika pra-musim yang lalu.

Walaupun pengaruh Gattuso tidak hadir dengan segera, Milan kemudian hanya tewas tiga daripada 17 perlawanan dan tidak terkalah sejak 23 Disember.

Selain itu, mereka hanya melepaskan satu gol dalam enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan naik ke tangga ketujuh Serie A.

Perkembangan memberangsangkan itu lantas mengejutkan Gattuso.

"Sangat penting kami mempunyai sebuah pasukan yang bersedia untuk beraksi selama 90 minit dan berjuang, kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan," kata Gattuso dalam sidang media sebelum ke AS Roma.

"Pada masa ini, kami semua bersemangat, kami akan menghadapi Roma dan Arsenal di gelanggang seimbang.

"Hakikatnya, ia sentiasa menjadi gelanggang seimbang, sepertimana yang anda lihat kami banyak kehilangan mata kepada kelab yang lebih kerdil.

"Saya tidak menduga betapa pesatnya perkembangan pasukan ini dalam elemen tertentu. Apabila saya mengatakan kami bermain sebagai sebuah pasukan, orang fikir saya hanya berlari dan membantu satu sama lain.

"Tetapi, sebenarnya ada lebih banyak daripada itu.

"Gaya kami bertahan benar-benar semakin kemas dan ia berlaku lebih pantas daripada yang saya jangkakan, lalu menjadikan saya sangat gembira."