ATALANTA 1 MILAN 3

Gennaro Gattuso menyifatkan semangat Krzysztof Piatek mencari jaringan gol sebagai pengubah keputusan perlawanan buat AC Milan ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Atalanta dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Poland, Piatek, meledak jaringan kelima dan keenam sejak menyertai Milan daripada Genoa, Januari lalu, untuk mencetus inspirasi kebangkitan Milan bagi menghuni tangga keempat liga.

Pemain berusia 23 tahun itu menyamakan kedudukan selepas Remo Freuler membuka jaringan, diikuti gol Hakan Calhanoglu sebelum Piatek melengkapkan kemenangan.

Piatek kini menjaringkan enam kali dalam empat penampilan dan jaringan penyamaannya berjaya memikat pengendali Rossoneri, Gattuso.

"Piatek adalah seorang pemain yang mengejar jaringan. Dia bermain dengan baik dan memiliki tahap kemahiran yang tinggi.

"Kami sangat gembira menyaksikan dia beraksi untuk Milan.

"Secara keseluruhan, saya tidak mahu bercakap mengenai individu tetapi mahu mengutamakan pasukan ini. Kemeangan ini membantu kami untuk lebih yakin melakar keputusan yang positif."

Piatek, yang turut meledak dua gol ketika menewaskan Napoli bulan lalu, turut memberikan pujian kepada Gattuso.

"Beliau seorang jurulatih yang berkualiti dan legenda Milan," kata Piatek.

"Saya sangat gembira bersama Milan. Saya perlu mengekalkan persembahan ini untuk membantu pasukan."