Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, mencadangkan Gonzalo Higuain mahu kembali bersama bekas pengendali Napoli, Maurizio Sarri, di Chelsea.

Sarri tidak berahsia dengan keinginannya untuk mempertingkatkan jentera serangan, terutama jika Alvaro Morata meninggalkan kelab itu bulan ini.

Chelsea dikatakan berminat untuk mendapatkan beberapa penyerang, termasuk bekas penyerang Napoli, Higuain, yang dilihat sebagai pilihan ideal buat Sarri.

Higuain yang dipinjamkan ke Milan daripada Juventus, pernah beraksi di bawah kendalian Sarri bagi musim 2015-16.

Walaupun Sarri belum mendedahkan minatnya terhadap Higuain, Gattuso mendedahkan keinginan pemain kebangsaan Argentina itu yang mahu berhijrah selepas Milan merakamkan kemenangan 2-0 dalam saingan Coppa Italia ke atas Sampdoria.

"Apabila pemain membuat pilihan, sukar untuk meyakinkan mereka," kata Gattuso.

"Saya sentiasa memberitahu pilihan terletak di tangan pemain. Buat masa ini, dia adalah pemain Milan dan kami sangat gembira dengan kehadirannya. Kami akan cuba memastikan dia kekal bersama pasukan."

Ketika meraih kemenangan ke atas Sampdoria, pemain baru, Lucas Paqueta, melakukan penampilan sulung dan Gattuso teruja dengan persembahan yang dipamerkan oleh bekas bintang Flamengo itu.

"Saya sangat gembira dengan persembahannya, terutama sekali dalam babak kedua. Paqueta banyak menembusi benteng pertahanan lawan."