Ricardo Gareca memberi penghargaan kepada pemain-pemain Peru selepas dia menandatangani kontrak baru selama tiga tahun untuk kekal selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Pengendali berusia 60 tahun itu menerima jawatan tersebut pada Februari 2015, membawa Peru ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama selepas 36 tahun dan pemain-pemainnya beraksi dengan baik walaupun tersingkir daripada peringkat kumpulan di sebalik menundukkan Australia 2-0 dalam aksi terakhir.

Kontrak baru Gareca menyaksikan dia akan berpeluang untuk cuba membawa pasukan layak ke Piala Dunia Qatar 2022 dan pengurus dari Argentina itu ditawarkan kontrak lanjutan sekiranya dia berjaya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Peru kerana sekali lagi mempercayai kami," kata Gareca.

"Kami gembira untuk memperbaharui kontrak selama tiga tahun dan kemungkinan menambah setahun lagi sekiranya kelayakan disempurnakan.

"Apa yang saya sukakan di sini adalah keadaan pemain-pemain Peru yang kami miliki. Mereka sentiasa yakin dengan potensi yang ada pada diri mereka.

"Mewakili Peru perlu mengukuhkan semua orang, ia perlu digalas dengan bermaruah. Sudah tentu ia tidak bergantung kepada satu individu sahaja."