MANCHESTER CITY 1 LYON 2

Manchester City dikejutkan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) selepas Maxwel Cornet dan Nabil Fekir memastikan kemenangan 2-1 buat Lyon ke atas pasukan pilihan kejohanan di Stadium Etihad.


Pep Guardiola dipaksa menyaksikan perlawanan bersama penonton bagi aksi sulung Kumpulan F itu kerana digantung UEFA daripada berada di tepi padang, dengan tuan rumah mendominasi permainan tetapi dinamik jentera serangan Lyon menghadirkan masalah demi masalah buat City.

Penguasaan bola memihak kepada City tetapi dua kesilapan Fernandinho membenarkan Lyon menghukum mereka, dengan Fekir dan Cornet membolehkan skuad kendalian Bruno Genesio itu mendahului perlawanan 2-0 selepas tamat separuh masa pertama.

Kehadiran Leroy Sane mengubah suasana perlawanan selepas berjaya melakukan umpanan kepada Bernardo Silva untuk mengurangkan defisit jaringan tetapi Lyon bertahan hingga tamat perlawanan untuk meraih kemenangan di laman lawan.

City tidak bermasalah untuk mengawal permainan dan hampir mendahului saingan pada minit ke-16 apabila tandukan Aymeric Laporte sekadar melewati palang gol.

Lyon mengambil peluang terhidang 10 minit kemudian, dengan Cornet yang berjaya mecari ruang dalam kotak penalti menampan masuk hantaran silang Fekir.

City sepatutnya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 apabila Rafael da Silva menjatuhkan Gabriel Jesus tetapi pengadil mengabaikan bantahan tuan rumah sebelum Lyon sekali lagi mengejutkan The Citizens.

Fekir berjaya mengatasi dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Ederson.

City memperkenalkan Sane pada minit ke-55 bagi meningkatkan lagi intensiti pasukan ketika menyerang tetapi bekas pemain Manchester United, Memphis Depay, mencuri tumpuan dengan melepaskan rembatan yang bagaimanapun sekadar mencium palang gol.

Sane kemudian meningkatkan semangat City apabila menghasilkan bantuan jaringan kepada Silva tetapi ia tidak mencukupi dan Lyon memastikan mereka meraih tiga mata penting.