Marcelo Gallardo menafikan khabar angin bahawa dia akan mengambil alih jawatan pengurus Barcelona dengan berkata fokusnya hanya buat River Plate.

Gallardo dikaitkan untuk berpindah ke Camp Nou selepas Ernesto Valverde dilaporkan akan meninggalkan pasukan Catalan itu hujung musim ini.

Bagaimanapun, pengurus River itu membahaskan mengenai spekulasi itu, yang hadir ketika pasukannya sedang menuju penamat penting musim ini, termasuk aksi final Copa Libertadores menentang Flamengo, 23 November ini.

"Tiada pihak akan tampil memulakan perbincangan, terutama dengan mengetahui kami sedang berada di fasa paling penting buat kelab kami, beraksi dalam perlawanan yang amat penting," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik daripada Globo Esporte.

"Sudah pasti tiada apa yang dapat mengganggu fokus saya terhadap sasaran yang kami tetapkan.

"Saya tidak dapat menjawab mengenai khabar angin itu. Tiada siapa tampil untuk mencadangkan perjumpaan atau menganalisis tentang apa yang akan dilakukan pada masa akan datang.

"Kami tiada masa untuk itu," katanya.

Gallardo dilantik pengurus River pada 2014 dan telah memenangi dua gelaran Copa Libertadores.

River kini berada di tangga ketiga Liga Primera Argentina, ketinggalan satu mata di belakang Argentinos Juniors dan Lanus selepas 12 perlawanan.