THAILAND 3 MALAYSIA 0

Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara tampak memilih jalan sukar untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan selepas tumbang 3-0 kepada tuan rumah, Thailand, di Stadium Supachalasai, sebentar tadi.


Menang 3-0 ke atas Indonesia dalam aksi pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu menang ke atas Thailand untuk selangkah ke pusingan akhir kejohanan.

Bagaimanapun, mereka beraksi tanpa dua tonggak, penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, dan penyerang, Syafiq Ahmad, ekoran kecederaan.

Tuan rumah yang memerlukan kemenangan selepas sekadar seri 1-1 dengan Mongolia, membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Chenrop Samphaodi, pada minit ke-24.

Ketika aksi babak pertama hampir tamat, Thailand berjaya meraih gol kedua, sekali lagi menerusi Chenrop dan kali ini dia bijak memanfaatkan kealpaan benteng negara.

Ketinggalan 2-0, skuad negara bangkit memperkemaskan corak permainan dalam usaha merapatkan kedudukan.

Kemasukan penyerang, Akhyar Rashid, berjaya memberi impak positif dan mereka hampir mendapatkan gol pada minit ke-59 yang berpunca daripada sepakan percuma Daniel Amier Norhisham.

Namun, keampuhan Thailand nyata sukar dibendung apabila mereka menokok jaringan menerusi pemain gantian, Phicha Autra, pada minit ke-86 untuk memastikan kemenangan skuad Gajah Perang.

"Seperti mana yang saya katakan, jika anda mengambil kira keputusan Thailand menentang Mongolia, terdapat banyak perbezaan.

"Thailand sebuah pasukan berkualiti, kami terlalu hormat dan memberikan banyak ruang kepada mereka pada separuh masa pertama.

"Kami terbawa-bawa dan melakukan kesilapan.

"Gol kedua dalam masa kecederaan babak pertama, khususnya, membunuh peluang kami untuk bangkit," ujar Kim Swee sejurus tamat permainan.