Bintang Brazil, Neymar, tampil memberikan sokongan buat pengendali skuad Selecao, Tite, dan menggesanya agar kekal mengurus pasukan walaupun melalui kempen mengecewakan dalam Piala Dunia 2018.

Sebelum saingan di Russia bermula, pasukan bimbingan Tite itu merupakan salah satu calon untuk bergelar juara tetapi mereka disingkirkan Belgium dalam suku akhir yang berkesudahan 2-1.

Brazil berdepan tamparan hebat apabila disingkirkan oleh skuad kendalian Roberto Martinez itu tatkala Neymar menjadi sasaran kritikan susulan aksinya di atas padang walaupun dilihat hampir memperagakan aksi sempurna sewaktu mengatasi Mexico dalam pusingan 16.

Walaupun laluan mereka ternyata tidak membanggakan, bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu hanya menghamburkan kata-kata positif untuk Tite selepas membantu pasukan kebangsaannya bangkit daripada kekalahan memalukan 7-1 di tangan Jerman dalam separuh akhir Piala Dunia 2014 di laman sendiri.

"Tite menjalankan tugas dengan baik, mengumpulkan skuad yang kuat dan saya harap dia meneruskannya," ujar Neymar.

"Perasaan dapat mencapai apa yang kami mahukan tentunya hebat kerana kami sedar kami mempunyai pasukan yang baik serta pemain yang berkualiti untuk mencapai sasaran.

"Kami banyak belajar daripada apa yang dilalui. Saya memang kecewa dan ia adalah kesedihan terbesar dalam karier tetapi ia sudah berlalu. Saya harus berfikir ke depan," katanya.

Neymar dikritik hebat susulan aksi di atas padang, termasuk daripada pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio, yang menggelarnya seorang "pelakon".

Namun, Neymar tidak mahu mengambil kira kritikan sedemikian.

"Daripada apa yang mereka katakan, saya hanya meneruskannya dan menganggapnya sebagai jenaka. Saya tidak pernah membangkang tentang perkara ini.

"Corak permainan saya tetap sama. Saya bermula pada usia 17 tahun, mengharungi banyak kekasaran, terjahan keras dan ia adalah sebahagian daripada sukan. Apa yang saya lakukan ketika Piala Dunia adalah untuk membantu Brazil, negara saya. Malangnya, kami gagal."