Gabriel 'Gabigol' Barbosa dan Matteo Politano bersetuju untuk keluar daripada Inter dengan masing-masing menyertai Flamengo dan Napoli.

Flamengo dikatakan telah membayar yuran €17 juta (RM76.4j ) untuk menandatangani Gabriel sementara Politano telah bergabung dengan Napoli menerusi pinjaman selama dua tahun dengan kewajipan untuk membelinya.

Selepas gagal mengukuhkan tempatnya sejak tiba di San Siro pada Ogos 2016 dengan nilai €25 juta (RM112.4j), Gabigol kembali menyinar sejak dipinjamkan ke Flamengo tahun lalu. Dia menyumbat 43 gol dalam 60 perlawanan buat skuad kendalian Jorge Jesus itu menjulang gelaran Campeonato Brasileiro (liga) dan Copa Libertadores.

Penyerang berusia 23 tahun itu, yang dikaitkan dengan perpindahan ke West Ham, bagaimanapun, semalam menandatangani perjanjian lima tahun untuk kekal di Flamengo.

Inter juga bersetuju untuk melepaskan Politano yang kurang diberi kesempatan sepanjang di bawah bimbingan Antonio Conte.

Politano memulakan 31 perlawanan Serie A di bawah asuhan Luciano Spalletti musim lalu sehingga mendorong Nerazzurri untuk menukar status pinjamannya daripada Sassuolo kepada secara kekal.

Bagaimanapun, selepas hanya berkesempatan bermain dalam tiga perlawanan sebagai tonggak utama musim ini, dia akhirnya memilih untuk meninggalkan Napoli.

Politano pada awalnya dijangka akan kembali ke Roma, di mana dia menghabiskan karier remajanya sebelum menyertai Pescara pada 2013, namun perpindahan itu gagal menjadi kenyataan sebelum skuad kendalian Gennaro Gattuso itu mencampuri urusan perpindahannya.

Semalam, Inter juga mengumumkan kehadiran Christian Eriksen daripada Tottenham dan dijangka akan terus berusaha memancing Olivier Giroud daripada Chelsea setelah menagih khidmat Ashley Young dan Victor Moses.



Editor: Shaiful Shamsudin