Satu kemenangan dan tiga seri dalam aksi pemanas badan sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada ketua jurulatih skuad futsal wanita negara, Addie Azwan Zainal, dalam misi menghadapi Kejohanan Futsal AFC 2018 di Bangkok, bulan depan.

Skuad futsal negara selesai mengadakan empat aksi persahabatan di Bandung, Indonesia, sejak 15 April lalu sebagai persediaan akhir dengan melakar kemenangan 4-1 ke atas Indonesia selain tiga keputusan seri berdepan dua kelab di sana.

Ia sekali gus membuktikan bahawa anak didik Addie itu sedia melakar kejutan dalam edisi terbaru ini selepas meraih tempat keempat di Nilai, Negeri Sembilan, tiga tahun lalu.

Menariknya, walaupun terdapat enam pemain yang mengalami keracunan makanan di Bandung, mereka tetap mampu mempamerkan aksi terbaik agar lebih berdaya saing untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Kami terbabit dalam dua pertemuan dengan pasukan kebangsaan yang turut dalam persediaan untuk mara ke separuh akhir Kejohanan AFC.

"Tumpuan kami adalah dua aksi dengan pasukan kebangsaan. Kami mempamerkan peningkatan yang baik, dengan perlawanan pertama berkesudahan 1-1 manakala yang kedua kami menang 4-1.

"Pemain-pemain dilihat boleh melaksanakan perancangan asal," kata jurulatih itu.

Addie, yang baru bersama skuad wanita sejak Mac lalu, menyifatkan pemain-pemainnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihannya yang lebih mengutamakan aspek serangan berbanding corak bertahan yang sering diketengahkan sebelum ini.

"Kami kini cenderung kepada permainan menyerang. Kurang kawalan terhadap pemain lawan, sebaliknya latihan kami menumpukan aspek kekuatan dan kepantasan. Kita boleh tengok perubahannya.

"Alhamdulillah kami dapat mengadakan latihan pada setiap hari dan kekuatan kami meningkat hampir 100 peratus," katanya.

Skuad wanita negara akan memulakan kempen Kumpulan B berdepan Bangladesh pada Rabu ini, disusuli Taiwan dan Vietnam.