Frappart pengadil wanita pertama dalam Ligue 1

Oleh Staff Writer 24 April 2019 201
Frappart pengadil wanita pertama dalam Ligue 1
Stephanie Frappart akan menjadi pengadil wanita pertama mengadili perlawanan Ligue 1, demikian disahkan Persatuan Bolasepak Perancis (FFF).

Pengadil wanita kelahiran Perancis, Frappart, akan mencipta sejarah ketika mengadili perlawanan divisyen utama di antara Amiens dan Strasbourg, hujung minggu ini.

Pengadil berusia 35 tahun itu -- yang akan melakukan penampilan dalam Piala Dunia Wanita di Perancis, Jun ini -- pernah menjadi pengadil wanita pertama dalam Ligue 2 pada 2014.

"Stephanie Frappart, yang dipilih oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyertai Piala Dunia Wanita di Perancis, telah dilantik oleh Badan Pengadilan FFF untuk mengadili perlawanan ke-34 Ligue 1 di antara Amiens SC dan RC Strasbourg," kata FFF dalam satu kenyataan.

"FIFA telah menjemput persekutuan dengan pengadil yang terpilih dalam Piala Dunia Wanita untuk mempersiapkan mereka di bawah syarat-syarat terbaik dalam saingan peringkat tertinggi. 

"Persiapan itu akan merangkumi aspek teknikal, kecergasan dan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR)."

Bibiana Steinhaus (Jerman) merupakan pengadil wanita pertama mengadili perlawanan liga divisyen utama Eropah ketika memegang tanggungjawab itu dalam perlawanan Bundesliga di antara Hertha Berlin dan Werder Bremen pada 2017.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen