Edin Dzeko mendedahkan dia telah ditawarkan untuk menjadi kapten Roma oleh rakan sepasukan, Alessandro Florenzi, dalam usaha untuk meyakinkannya kekal bersama pasukan itu selepas terdapat laporan Inter berminat mendapatkannya.

Dzeko hampir menyertai Inter, bagaimanapun, penyerang Roma itu menandatangani kontrak selama tiga tahun untuk berkhidmat bersama pasukan itu sehingga 2022.

Penyerang kelahiran Bosnia-Herzegovina itu berhijrah dari Manchester City pada 2015 dan telah menjaringkan 80 gol untuk Roma dalam semua kejohanan.

Berbincang tentang kontrak lanjutannya, Dzeko meberitahu Roma TV: "Mereka telah berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan saya di kelab. Saya mahu mengucapkan terima kasih dan mahu memberikan yang terbaik, seperti biasa.

"Rakan sepasukan saya antara faktor saya kekal di sini. Mereka bukan sahaja rakan setugas; kami seperti sahabat yang akrab.

"Mereka sentiasa menyokong saya dan memiliki hubungan baik dengan setiap pemain dalam pasukan.

"Lorenzo Pellegrini dan Florenzi bercakap dengan saya setiap hari, 'Anda akan kekal di sini dan tidak akan ke mana-mana. Florenzi pula berkata, 'Jika kamu tandatangani kontrak baru, saya akan berikan lilitan kapten!'

"Selepas saya mengambil keputusan untuk kekal, Florenzi memberikannya kepada saya tetapi saya berkata, 'Ale, anda adalah kapten kami dan setiap pemain menyokong anda'."