Bayern Munich akan menghormati Chelsea tetapi akan mengambil pendekatan berani menjelang perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge, kata Hansi Flick.

Juara Bundesliga itu pernah memaparkan aksi agresif ketika bertandang ke London dengan membelasah Tottenham Hotspur 7-2 di peringkat kumpulan Oktober lalu.

Ketika lawan mereka melangkah ke pusingan kalah mati dengan rekod kemenangan 100 peratus, Chelsea pula mara ke peringkat itu dengan hanya memenangi satu daripada tiga perlawanan di laman sendiri.

Ia memberikan Bayern keyakinan tambahan untuk bertandang ke ibu kota England itu awal pagi esok.

Bagaimanapun, Flick tertarik dengan prestasi The Blues musim ini dan percaya mereka mampu menggegarkan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Frank Lampard.

"Pasukan saya sedar apa yang akan kami hadapi dan kami mahu menjadi berani, yakin dan menyerang," kata pengurus Bayern itu dalam sidang media.

"Saya amat-amat yakin kami boleh mempamerkan prestasi yang baik.

"Kami sudah menganalisis kekuatan dan kelemahan mereka, juga peluang untuk memastikan perlawanan ini memihak kami.

"Saya fikir mereka bermain dengan sangat baik dan sudah membina pasukan.

"Mereka amat bagus, berada di tangga keempat Liga Perdana dengan beberapa pasukan yang anda fikir akan berada di depan mereka kini di belakang mereka.

"Kami akan memberikan hormat tetapi tidak akan berasa takut," katanya.

Mengenai Lampard, Flick berkata: "Dia sedang menjalankan tugasnya dengan hebat.

"Dia membuktikan kejayaan dengan menduduki tangga keempat Liga Perdana.

"Mereka kelihatan seperti akan layak dalam Liga Juara-Juara (musim depan).

"Ia usaha yang hebat," katanya.

Flick, yang mengambut ulang tahun kelahirannya yang ke-55 semalam, mengesahkan Leon Goretzka boleh diturunkan selepas menyertai sesi latihan mereka sebelum berlepas ke London.

Philippe Coutinho juga berkemungkinan akan diturunkan selepas memulakan perlawanan ketika menewaskan Paderborn 3-2 dalam saingan liga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tahap kecergasan pemain kebangsaan Brazil itu masih menjadi persoalan dalam sidang media.

Ditanya mengenai ketekalan Coutinho sejak menyertai pasukannya, Flick berkata: "Saya amat gembira apabila melihat caranya bermain dalam sesi latihan, dia seorang yang gilakan bola sepak.

"Adakalanya, dia meletakkan dirinya dalam tekanan yang amat tinggi.

"Dia sentiasa ingin menyerlah dalam perlawanan, jadi setiap keputusannya, secara umumnya betul tetapi kami akan sentiasa menyokongnya," katanya lagi.