Hansi Flick berkata dia amat gembira untuk meraikan dua kemenangannya di Bayern Munich selepas pengerusi kelab itu, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan dia akan mengepalai tugas sebagai pengurus sementara sehingga makluman yang berikutnya.

Susulan pengunduran Niko Kovac, Flick mengetuai kecemerlangan Bayern menewaskan Borussia Dortmund 4-0 dalam pertembungan "Klassiker" Bundesliga di Arena Allianz awal pagi tadi.

Kejayaan itu tiba selepas Bayern turut menewaskan Olympiacos 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Khamis lalu.

Gol berganda Robert Lewandowski menjadi petanda kecemerlangan Flick dalam aksi Bundesliga pertamanya selaku pengurus sementara sambil Serge Gnabry turut menemui sasaran dan Mats Hummels terjaring bola ke gawang sendiri pada penghujung aksi.

Ditanya mengenai kenyataan Rummenigge itu -- yang berkata Flick akan kekal dengan peranan tersebut di sebalik desas-desus yang mengaitkan kemasukan Erik ten Hag, Arsene Wenger, Massimiliano Allegri dan Jose Mourinho -- jurulatih berusia 54 tahun itu memberitahu wartawan: "Saya tidak tahu apa yang dia (Rummenigge) katakan.

"Bagi saya, tiada apa-apa yang berubah.

"Dua perlawanan ini adalah tugasan saya.

"Saya menikmati tugas ini dengan meletakkan pasukan di posisi ini.

"Saya sentiasa katakan bahawa dua perlawanan ini amat penting buat saya, terutama yang saya sudah tamatkan hari ini.

"Kami memenangi kedua-dua perlawanan itu, jadi saya amat gembira," katanya.

Minggu lalu, Bayern tewas 1-5 kepada Eintracht Frankfurt, yang mendorong kepada pemecatan Kovac, tetapi juara Jerman itu bangkit hasil usaha keras Lewandowski, yang menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam 11 perlawanan Bundesliga berturut-turut.

Flick menambah: "Apa lagi yang anda boleh katakan selepas perlawanan seperti itu selain memuji keseluruhan pasukan.

"Saya fikir kami telah memaparkan segala-galanya yang kami rancangkan.

"Kami mahu membuktikannya sejak minit pertama bahawa sasaran kami adalah untuk memenangi perlawanan ini.

"Pemain telah melakukannya dengan luar biasa.

"Ia persembahan yang amat cemerlang. Ia amat penting buat kami.

"Dalam perlawanan Rabu (awal pagi Khamis) lalu, kami meningkat daripada segi pertahanan.

"Tetapi hari ini, kami bertahan dan menyerang dengan baik.

"Itulah yang membuatkan saya benar-benar gembira.

"Kami memaparkan permainan seperti yang dikenali dahulu dan itulah yang semua orang mahu saksikan," tambahnya.