Pemain tengah skuad negara, Firdaus Saiyadi, menyifatkan Mohamadou Sumareh sebagai pencabar hebat untuk menempah slot kesebelasan utama selepas mendapat panggilan skuad kebangsaan tatkala kariernya hampir musnah gara-gara isu doping.

Pemain berusia 23 tahun itu digantung selama dua tahun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana didapati positif doping pada 2016.

Namun, Firdaus yang menganggap dirinya 'seperti mati hidup semula' mahu membantu Malaysia menjulang Piala Airmarine 2019 bagi menghidupkan kembali kariernya dengan membuktikan prestasi yang baik.

"Saya masih lagi baru dalam skuad senior ini.

"Saya akan cuba bersungguh-sungguh dan meletakkan sasaran beraksi dalam kesebelasan utama.

"Ini merupakan peluang untuk saya membuktikan semula kebolehan, sekali gus menghidupkan karier saya sebagai pemain bola sepak," kata pemain sayap Perak itu ketika ditemui dalam sesi latihan di Bukit Jalil, petang tadi.

Sementara itu, pemain naturalisasi negara, Sumareh, tidak menganggap dirinya sebagai pemain senior dan melihat muka-muka baru sebagai pesaing hebat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dalam Piala Airmarine 2019.

Baginya, senarai 25 pelatih yang dipanggil menjalani latihan kali ini mempunyai kebolehan tersendiri yang mewujudkan saingan sengit untuk memikat hati pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

"Pemain-pemain baru yang terpilih menyertai skuad negara telah membuktikan kebolehan mereka bersama pasukan masing-masing.

"Kehadiran mereka akan menambah kualiti ke dalam skuad negara," kata Sumareh.