Fiorentina kekalkan Montella di sebalik prestasi longlai 

Oleh Staff Writer 15 Jun 2019 178
Fiorentina kekalkan Montella di sebalik prestasi longlai 
Fiorentina mengesahkan bahawa bekas pengurus AC Milan dan Sevilla, Vincenzo Montella, akan kekal di kelab Serie A tersebut.

Montella, yang melatih Fiorentina di antara 2012 dan 2015, kembali ke Artemio Franchi, April lalu, untuk menggantikan Stefano Pioli.

Begitupun, dia gagal memenangi  kelapan-lapan perlawanan di bawah asuhannya yang meletakkan masa depannya dalam keraguan.

Bagaimanapun, kelab itu mengesahkan bahawa Montella akan mengetuai cabaran musim depan selepas pertemuan dengan pemilik baru, Rocco Commisso, semalam. 

"Saya sangat gembira. Saya bertemu dengan Rocco Commisso secara peribadi buat pertama kalinya dan semangatnya melebihi segala jangkaan saya," kata Montella kepada laman sesawang rasmi Fiorentina.

"Dia menyampaikan banyak perkara positif dan saya yakin ia akan tersebar dalam kalangan semua orang, pasukan dan peminat.

"Saya tidak sabar-sabar lagi untuk bukan sahaja memulakan musim baru, malah berusaha menghadiahkan pemilik baru dan peminat Fiorentina kepuasan yang sewajarnya."

Fiorentina tidak memenangi sebarang perlawanan sejak 17 Februari lalu untuk menamatkan kempen di tangga ke-16, hanya tiga mata dipisahkan dengan zon penyingkiran.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen