"Benteng rapuh tanpa Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Syahmi Safari.”

Pendapat itu diakui oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe, di sebalik keputusan seri 2-2 dengan Vietnam dalam aksi final pertama Piala Suzuki AFF 2018 semalam, namun pujian tetap diberi kepada seluruh skuad Harimau Malaya yang mempamer semangat juang tinggi di depan 88,000 penyokong negara.


Cheng Hoe mengakui dua gol Vietnam yang hanya berselang tiga minit hampir merentap moral pemain dan dia tidak berselindung bahawa ketiadaan Aidil dan Syahmi memang dirasai di bahagian pertahanan yang menjadi salah satu punca kepada dua gol oleh Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy.

Namun, Cheng Hoe tetap berpuas hati dengan prestasi pengganti mereka berdua, terutama Irfan Zakaria, yang telah sedaya-upaya memberikan aksi terbaik di atas padang.

"Saya rasa kami bermula baik tetapi kurang fokus sehingga melepaskan gol. Pertahanan tampak tidak ampuh. Ketiadaan Syahmi dirasai tetapi Amirul Azhan Aznan dan Irfan Zakaria beraksi sehabis baik. Selaku jurulatih, saya gembira dengan prestasi pemain," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo, pula berpuas hati di sebalik keputusan seri walaupun sedikit kecewa mereka dihukum dua kali melalui situasi bola mati.

Malah, jurulatih dari Korea Selatan itu masih bermegah dengan berasakan taktikal bola mati yang direncanakan Harimau Malaya sebenarnya bukanlah satu masalah besar kepada Vietnam.

“Saya tidak rasa taktikal bola mati mereka satu masalah besar. Kami cuma tidak perlu lakukan kekasaran di tempat berbahaya untuk memberi gol seperti itu. Jadi, selepas ini kami akan lakukan analisis video untuk mengkaji kekuatan mereka dalam situasi bola mati,” ujar Hang-Seo.