"Ini semua demi Harimau Malaya."

Itu kesanggupan penyokong negara yang terpaksa bermandi hujan dan ada juga yang berkerusi roda hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


Pertemuan aksi final pertama itu jelas mendapat sambutan luar biasa daripada penyokong tanah air apabila kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan habis dijual tatkala tinjauan Nadi Arena mendapati penyokong sudah tiba sejak pagi lagi.

Antara yang mencuri tumpuan seorang penyokong istimewa Harimau Malaya yang juga orang kelainan upaya (OKU) apabila sanggup hadir ke stadium lebih awal untuk menyaksikan perlawanan akhir malam ini.

"Saya rasa kali ini Malaysia berpeluang untuk jadi juara. Saya ingin menjadi sebahagian daripada sejarah 2018," kata salah seorang penyokong negara.

Suasana di perkarangan Stadium Nasional mula dibanjiri kehadiran penyokong negara sejak jam 2 petang.

Hujan juga tidak menghalang penyokong negara yang hadir ke stadium dengan pelbagai ragam dan gaya untuk menikmati aksi malam ini dengan harapan melihat kemenangan memihak Malaysia.

"Semua penyokong sangat bersemangat walaupun hujan lebat. Apa yang penting, perlu mendapatkan jaringan dan mengelakkan gawang daripada dibolosi," tambah seorang lagi penyokong Malaysia.