Debaran perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini, semakin terasa apabila 40,000 tiket yang ditawarkan dalam talian, habis dijual.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 30,000 tiket telah habis terjual menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my semalam manakala tambahan 10,000 tiket lagi telah habis terjual tadi.

FAM memaklumkan baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal esok di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Peminat bola sepak negara boleh mendapatkan tiket perlawanan di kaunter tiket Pintu A dan Pintu E di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula jam 10 pagi hingga 5 petang (atau sehingga tiket habis), dengan setiap penyokong hanya boleh membeli maksimum lima tiket.

FAM berkata peminat boleh juga mendapatkan tiket perlawanan di beberapa cawangan Al-Ikhsan Sports terpilih dan mereka boleh merujuk laman Facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Badan induk bola sepak negara itu turut memaklumkan peminat tempatan yang hadir menyaksikan separuh akhir kedua di antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, Rabu lalu, boleh membeli tiket aksi final pertama di kaunter tiket khas di Arena Futsal FAM, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kaunter tiket khas di Wisma FAM ini hanya dibuka sehari esok, dari jam 10 pagi hingga 5 petang, menurut FAM.

Peminat yang membuat pembelian tiket berkenaan, bagaimanapun, perlu membawa kad pengenalan (MyKad) dan bukti pembelian, iaitu keratan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok atau bukti slip pembayaran tiket berkenaan.

“Jika ia telah hilang, sila bawa pasport Malaysia anda sebagai bukti keluar masuk ke Thailand untuk ke perlawanan tempoh hari,” kata FAM.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka yang berharga RM40 sekeping.

Malaysia seri 2-2 dengan Thailand dalam aksi separuh akhir, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir yang menggunakan format timbal balik.

-- BERNAMA