Final Liga KDM Malaysia dijangka sengit

Oleh Willie Jude  22 November 2019 119
Final Liga KDM Malaysia dijangka sengit
Perlawanan akhir Liga KDM Malaysia 2019 di antara KDM Telupid dan KDM Sepanggar di Stadium Penampang esok dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan bakal dibarisi bekas pemain senior dan junior Sabah. 

Bekas pemain Sabah dalam skuad Telupid ialah Tekson Tubeng, Mohd Reithuddin Emran, Rosdin Wasli, Zuraindey Jumai, Jufrey Omopor, Masmilan Matlan, Ronny Harun, Razlan Otto, Sumardi Hajalan, Fread Filemon dan Mohd Farid Saibun.

Sementara itu, bekas pemain Sabah dalam senarai skuad Sepanggar pula termasuk Roy Ahwai, Afizan Paka, Radzi Md Hussin, Julamri Muhammad, Mohd Salawi Ahmad Jasad, Nelmon Jeoffery, Mohd Razle Puteh, Mohd Iqbal Kassim, Shahrul Chankui dan Mohd June Azral Lala.

Sepak mula final berkenaan dijadualkan bermula jam 3.00 petang selepas perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di antara KDM Semporna dan KDM Kudat yang berlangsung lebih awal mulai jam 1.00 petang di venue sama.

Pengurus pasukan Telupid, Sernam Singh, berkata pasukannya sudah bersedia tetapi lebih selesa mereka diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan.

"Kami telah buat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi perlawanan akhir ini, termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan. 

"Berdasarkan rekod sepanjang kejohanan ini, KDM Sepanggar adalah pasukan pilihan, namun kami selesa dengan label 'underdog'.

"Bagaimanapun, kami bertekad akan cuba memberikan yang terbaik dan yakin mampu memberi tentangan hebat," katanya.

Sambil itu, jurulatih Sepanggar, Mustafa Kamal Ngah, berharap tuah akan memihak mereka kali ini. 

"Ini adalah peluang untuk tebus kekecewaan kalah dalam final Piala FA sebelum ini. 

"Pemain semua dalam keadaan baik dan sedia untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini dan harap-harap tuah akan memihak kami kali ini," katanya.

Ia adalah peluang kedua buat Sepanggar merangkul gelaran selepas terlepas gelaran juara dengan kekalahan 1-4 kepada Semporna dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Likas bulan lalu.

Telupid mara ke perlawanan akhir selepas menang dengan agregat 2-0 ke atas Kudat manakala Sepanggar mengecewakan Semporna dengan agregat 3-2 dalam separuh akhir.

Kejohanan anjuran Pertubuhan KDM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000 itu turut mempertandingkan Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Juara liga akan menerima hadiah wang tunai RM100,000; kedua RM50,000; ketiga RM30,000 dan keempat RM15,000 manakala pasukan yang tewas dalam suku akhir menerima RM2,000.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Presiden KDM Malaysia akan menyempurnakan majlis penutupan serta penyampaian hadiah.

Tentang Penulis

Willie Jude 

Komen