SEVILLA 2 LEGANES 0

Pasukan bimbingan Vincenzo Montella, Sevilla, melayakkan diri ke final Piala Raja Sepanyol buat kali keempat dalam masa 12 tahun selepas menewaskan Leganes 2-0 dalam separuh akhir di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan Sevilla menang 3-1 secara agregat selepas aksi pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Leganes, yang layak ke separuh akhir selepas mengejutkan Real Madrid, hampir menjaringkan gol pendahuluan pada minit ketiga tetapi percubaan Claudio Beauvue sedikit tersasar.

Joaquin Correa meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-15 apabila gerakan lincah Luis Muriel dari sebelah kanan membolehkan pemain Argentina itu mudah menolak bola masuk menewaskan penjaga gol, Nereo Champagne.

Pemain tengah, Ever Banega, hampir menambah jaringan buat tuan rumah ketika perlawanan berbaki empat minit sebelum tamat babak pertama.

Walaupun percubaannya membuatkan Champagne tertewas, Leganes bernasib baik apabila pertahanan, Tito, lebih bersedia untuk mengeluarkan bola di depan garisan gol.

Tito sekali lagi bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol apabila tandukan Sergio Escudero memerangkap Champagne yang berada sedikit ke depan dari gawang.

Selepas babak kedua menyaksikan bola lebih banyak berlegar di tengah padang, akhirnya tuan rumah meraih gol kedua pada minit ke-89 menerusi satu serangan balas pantas.

Pemain yang dipinjamkan dari Everton, Sandro Ramirez, bijak mengutip bola hasil hantaran jauh Gabriel Mercado, sebelum membuka ruang buat Franco Vazquez untuk melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Champagne.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan Sevilla bakal berdepan Barcelona atau Valencia yang akan berentap pada awal pagi esok untuk melakukan perhitungan dalam final.