Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan mereka sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa beberapa pemain Perancis menjadi mangsa ejekan perkauman di Russia.

Antara pemain yang dikatakan menjadi mangsa adalah Paul Pogba dan Ousmane Dembele, selepas diejek dengan bunyi monyet ketika aksi persahabatan menentang Russia di Saint Petersburg kelmarin.

Setakat ini, Pogba dan Dembele masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan selepas menamatkan aksi itu dengan kemenangan 3-1, namun pihak FIFA dilaporkan sedang mengumpul segala bahan bukti.

Omnisport cuba menghubungi pihak Kesatuan Bolasepak Russia (RFU) tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan.

"FIFA sedang mengumpulkan pelbagai laporan perlawnan dan bahan bukti berhubung diskriminasi yang dilaporkan media, termasuk daripada wakil Bolasepak Tolak Perkauman di Eropah (FARE) yang menyaksikan perlawanan.

"Diharapkan semua dapat memahami proses siasatan untuk sebarang kenyataan lanjut," kata satu kenyataan wakil FIFA.

Menteri Sukan Perancis, Laura Flessel, menuntut agar tindakan diambil di peringkat antarabangsa.

"Perkauman tidak boleh dibiarkan di atas padang. Kita harus bersatu di Eropah serta seluruh dunia untuk menghentikan gejala tidak bermoral ini," ujar Flessel menerusi Twitter.